Sunday, November 6, 2011

Thaluf siyasi

Assalamualaikum..

Terlebih dahulu,saya memohon maaf atas kealpaan saya mengupdated blog yang kian bersawang dan berhabuk ini.Tiada alasan dapat diberikan melainkan tiada mood menulis sejak 2 menjak ini..By the way,post kali ini amatlah penting untuk difahami oleh semua orang..Iaitu berkenaan dgn thaluf siyasi TS.bagi yng mengikuti perkembangan  Ijtima' Tarbawi baru2x ini mungkin tidak mempunyai masalah dalam memahami kepentingan TS ini.Maka seterusnya,saya senaraikan mengapa,bilamana dan apa sahajalah yg patut difahami oleh ahli gerakan,ahli bukan gerakan,ahli pengkritik,ahli pembodek dan sebagainya.

TAHALUF SIYASI : GARIS PANDUAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Mukaddimah

اَلْحَمْدُ للهِ الذِى اَنْزَلَ عَلى عَبْدِهِ الكِتابَ ولَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. لَهُ اْلآَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ الْعُلَى وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَلْمَبْعُوثُ رَحْمةً لِلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَذُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الأنبياءِ والمُرْسَلِيْنَ، وَاِمامِ المتَقِّيْنَ، وَقائِدِ الدُعاةِ المجَاهِدينِ، وَعَلَى آلِهِ وصْحبِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ اِلى يَوْمِ الدِيْنِ . أما بعد
         
Pemerintahan Islam merupakan perkara asas dalam Islam. Dengan wujudnya Negara Islam maka hukum hakamnya akan dapat dilaksanakan. Oleh itu usaha untuk mewujudkan sebuah Negara Islam merupakan agenda terbesar gerakan Islam. Pentingnya pemerintahan Islam ini kerana dengan adanya Negara Islam maka umat Islam akan mempunyai kedaulatan dan kemuliaan. Untuk memastikan Islam mencapai kemenangan maka strategi yang berkesan harus diambil. Salah satu strategi kemenangan dalam pilihanraya di Malaysia ialah dengan mengadakan pakatan politik bagi menghadapi pakatan yang sedia ada iaitu Barisan Nasional.

PAS masih lagi berpegang dengan konsep pilihanraya untuk merealisasikan dasar yang diperjuangkan iaitu mewujudkan sebuah negara dan kerajaan Islam yang damai بلدة طيبة ورب غفور  , pilihanraya semestinya memerlukan sokongan semua pihak yang menjadi pengundi  di dalam negara. Bangsa dan agama yang berbeza di Malaysia mestilah diberi perhatian sewajarnya sekiranya PAS ingin menjadi sebuah parti yang mampu memerintah melalui pilihanraya. Usia melebihi 50 tahun sememangnya satu jangkamasa yang sewajarnya untuk PAS memecahkan amalan perjuangan Islam untuk umat Islam sahaja kepada perjuangan Islam untuk semua kaum dan agama. Walaupun konsep ini difahami oleh pemimpin dan penyokong PAS tetapi amalan dan strategi yang sepatutnya dibentuk masih lagi di tahap yang tidak sepatutnya.



Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia

Penglibatan PAS dalam pilihanraya merupakan wasilah utama untuk mencapai kemenangan Islam. Sistem demokrasi di Malaysia setakat ini tidak menghalang mana-mana parti politik untuk bertanding dan memerintah sekiranya mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum yang diadakan. Walau pun terdapat banyak unsur-unsur penipuan di dalam pengendalian pilihanraya tersebut, PAS masih lagi menyertainya dan telah berjaya di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

PAS tewas dalam pilihanraya di Malaysia sebanyak 12 kali, kekalahan PAS paling teruk adalah di kawasan yang majoriti pengundinya bukan Islam sebanyak 11 kali, serangan musuh PAS, iaitu UMNO menggunakan slogan “Negara Islam tidak sesuai untuk masyarakat majmuk” adalah amat berbisa bagi non-muslim. Realiti yang ada, serangan ini mempengaruhi segelintir para pendakwah, petugas, dan penceramah PAS yang berucap menggunakan istilah-istilah yang tidak tepat, seolah-olah betul bagi non-muslim bahawa negara Islam akan membawa masalah kepada mereka.

Serangan musuh yang berstrategi ini menggunakan media massa arus perdana, sememangnya menjadi faktor utama kekalahan PAS dalam pilihanraya di Malaysia. PAS tidak diberi kebebasan bersuara melalui media arus perdana. Sememangnya perlu bagi PAS menutup pintu dakyah UMNO dengan menggunakan kaedah pakatan dengan masyarakat non-muslim melalui Komponen Pakatan Rakyat. Isu pencalonan bukan Islam melalui pakatan ini mampu menarik sokongan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Pakatan Rakyat salah satu strategi kemenangan

Sejarah pilihanraya yang diceburi oleh PAS sebanyak 12 penggal ternyata belum lagi mencapai kemenangan di peringkat persekutuan. Kemenangan yang dicapai di beberapa negeri belum lagi dapat dilaksanakan Islam secara menyeluruh. Lantaran itulah kemenangan PAS secara menyeluruh amat mustahak dalam isu pelaksanaan Islam yang menyeluruh ini. Pengalaman PAS menghadapi pilihanraya secara bersendirian sudah beberapa kali dan gabungan PAS dengan parti-parti politik lain sebelum ini sudah masak untuk PAS membuat ketetapan bersama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kali ke-13 akan datang. PAS melalui Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak telah berbincang masak dalam perkara pakatan yang unik ini. Melalui sistem dua parti utama ini menampakkan kepada PAS lebih cerah untuk meraih kemenangan dan lebih mudah untuk melaksanakan Islam di Malaysia. Parti-parti lawan yang bergabung di bawah Barisan Nasional juga melihat munculnya Pakatan Rakyat ini sebagai cabaran hebat yang menggerunkan mereka.

Pakatan Rakyat sebagai Medan dakwah

Bagi sebuah parti Islam yang memperjuangkan Islam PAS meletakkan sasaran dakwah kepada manusia sejagat adalah paling mustahak dan utama dalam programnya. Dengan adanya percaturan politik baru melalui pakatan rakyat ini, PAS bukan saja melihat aspek kemenangan dalam pilihanraya bahkan PAS meletakkan matlamat yang lebih jauh iaitu untuk memperkenalkan dasar perjuangannya (Islam) kepada masyarakat umum di samping matlamat untuk menyelamatkan akidah manusia di dunia ini. Di antara medan dakwah yang perlu ditumpukan oleh pendakwah-pendakwah PAS antara lainnya ialah:

1-      Dakwah fardiyah
Dakwah fardiyyah memainkan peranan yang besar dalam menyelamatkan akidah manusia. Tugas dan tanggungjawab ini mesti diambil oleh para alim ulama PAS agar tanggungjawab dakwah Islamiah benar-benar terlaksana dalam PAS. Penulis ingin tegaskan di sini bahawa lapangan dakwah kepada mad’u luar terutamanya kepada masyarakat non-muslim masih di tahap lemah dalam parti kita. Maka peluang berdakwah yang amat luas yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. ini mesti direbut oleh setiap pendakwah dan ia adalah fardu ain ke atas mereka. Hubungan individu dengan sasaran amat mustahak dan mesti dirancang dengan rapi. Firmann Allah 
  
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu; beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.[1]

2-      Dakwah melalui lisan dan tulisan.
Gabungan Pakatan Rakyat pada hari ini amat baik dan semakin erat. Program-program bersama antara pimpinan PAS dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menjadi kebanggaan bersama. Semangat menganjurkan program bersama ini merupakan medan terbaik yang boleh digunakan untuk memberi penjelasan Islam untuk semua. Penampilan PAS pada hari ini untuk memberi penjelasan isu-isu semasa yang berasaskan kepada Islam diterima baik oleh semua pihak.

Dakwah secara lisan dan tulisan ini bukannya suatu yang senang, bahkan ia memerlukan penguasaan ilmu Islam yang tinggi di samping memiliki hikmah dan bijaksana agar ianya tidak memberikan kesan buruk di dalam percaturan politik semasa.

Firman Allah S.W.T..:
   
Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala itiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”[2]

3-      Dakwah melalui tauladan
Qudwah dan tauladan merupakan elemen penting di dalam Dakwah Islamiah. PAS sebagai parti politik dakwah yang telah menjangkau usia yang matang sudah pastinya tampil dengan matang di tengah-tengah kancah politik negara. Pengalaman PAS bersama dengan Angkatan Perpaduan Ummah, CCC dan Barisan Alternatif sudah cukup untuk PAS menunjukkan qudwahnya kepada umum. PAS yang tak pernah mengkhianati rakan-rakan pakatannya sebelum ini meyakinkan semua pihak untuk bekerjasama dengannya. PAS juga tidak ada rekod pemimpin (calon) melompat parti dalam era kepimpinan ulama. Semua ini adalah berpunca dari PAS mempunyai prinsip Islam yang jelas. Gambaran ini jelas memberi isyarat dakwah kepada semua pihak. Firman Allah S.W.T
  
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.[3]

   .
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan[4]

Pakatan Rakyat sebagai medan strategik memperkenalkan keindahan Islam

Kepincangan sistem tajaan barat dalam negara kita menyebabkan berlakunya berbagai-bagai gejala yang parah dan mendukacitakan semua pihak. Masyarakat yang mempunyai wawasan dalam kehidupan mereka mula mencari alternatif baru untuk diamalkan dalam negara ini. Setakat ini banyak pihak melihat dasar yang diperjuangkan oleh PAS (Islam) adalah alternatif yang terbaik menggantikan dasar pincang yang sedia ada.

Ucapan yang sering didedahkan dalam ceramah-ceramah umum PAS banyak berkisar di sekitar kesyumulan Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Ucapan ini tidak difahami oleh ramai kalangan umat Islam sendiri, apatah lagi golongan Non-Muslim. Dengan itu medan pakatan rakyat adalah terbaik buat masa ini untuk mendekati sasaran dakwah. Antara fakta-fakta penting yang mampu menarik perhatian Non-Muslim dan boleh diketengahkan ialah:

1-      Kesyumulan Islam
Firman Allah S.W.T..  
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kamu keluar dari kampungnya; kamu pula berbantu-bantuan (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan[5]

2-      Keadilan Islam untuk semua
Firman Allah S.W.T:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.[6]

  
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah pertunjuk.[7]

3-      Islam untuk semua kaum dan agama
Firman Allah S.W.T  
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).[8]

4-      Islam pemangkin ekonomi
Firman Allah S.W.T.:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan Amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang Muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.[9]


Andaian politik dalam Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya

Andaian masa depan politik merupakan perkara asas dalam pemikiran mana-mana ahli politik. Bagi seorang ahli politik yang matang bukan saja andaian dibuat tapi andaian ini akan terus disusuli dengan tindakan pantas dan berstrategik agar ianya dapat dielak lebih awal. Andaian akan berlakunya unsur-unsur negative dalam parti boleh dielak sekiranya dapat diatur strateginya dari awal. Antara andaian awal yang bakal ditempuhi oleh penyokong-penyokong PAS yang mesti diberi penjelasan oleh Ulama lebih awal ialah calon di kalangan orang yang tidak menghayati Islam dan bukan Islam

PANDANGAN ULAMA’ TENTANG KERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM.

Islam sentiasa memberi hak kepada golongan bukan Islam di dalam negara Islam. Firman Allah S.W.T..:
   
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.[10]

Terdapat sebuah kaedah berbunyi:

لَهُم مَا لَنا وَعَلَيْهِم مَا عَلَيْن
(Hak) Untuk mereka (Ahli Zimmah) apa-apa (hak) untuk kita. Dan ke atas mereka (tanggungjawab) seperti mana ke atas kita.

Kewujudan golongan bukan Islam tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, lantas itulah para alim ulama Islam memberi pandangan yang berbeza apabila membincangkan peranan bukan Islam dalam negara Islam, bahkan adakah mereka berhak menjadi wakil rakyat dan anggota mesyuarat dalam negara Islam?. Terdapat tiga pandangan dalam perkara ini:

PANDANGAN PERTAMA : TIDAK HARUS
Terdapat segolongan para ulama yang mengharamkan kerjasama dan perlantikan wakil rakyat bukan Islam dalam negara Islam, mereka antara lain ialah, Imam Ahmad bin Hambal, Imam Syaukani dan juga ulama’-ulama’ dalam Mazhab Maliki )[11](

Pendapat yang tidak membenarkan kerjasama ini mengemukakan dalil-dalil seperti berikut:-

Pertama:
  
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan- keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.[12]

Kedua:
  
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.[13]

Ketiga:
  
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?
(An-Nisa’ : 144)

Keempat:
  
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil seteruKu dan seteru kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredhaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguh telah sesatlah ia dari jalan yang betul.[14]

Kelima:
  
(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu) “bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)”. dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.[15]

Ayat-ayat di atas diulas oleh para ulama’ mufassirin dengan menyatakan bahawa tidak harus bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam pemerintahan Islam termasuk memilih untuk menjadi calon atau anggota syura. Bukan setakat itu sahaja, malah Islam mengharamkan umatnya menyerupai orang bukan Islam ) [16])

PANDANGAN KEDUA : HARUS ([17])
Para ulama’ mufassirin juga ada yang berpendapat bahawa sebarang bentuk kerjasama yang menguntungkan Islam adalah diharuskan termasuk pemilihan calon dalam pilihanraya, mereka berdalilkan fakta-fakta sirah dalam pengurusan pentadbiran Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda pernah melantik Safwan bin Umayyah menganggotai risikan Islam dalam peperangan Hunain. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga pernah bekerjasama dengan Yahudi semasa memerangi Quraisy.

أَنَّ قَزْمَانَ خَرَجَ مَعَ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ وَهُوَ مُشْرِكٌ فَقَتَلَ ثَلاثَةً مِنْ بَنِي عَبْدِ الدَّارِ حَمَلَةَ لِوَاءِ الْمُشْرِكِينَ حَتَّى قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إنَّ اللَّهَ لَيَأْزُرُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

Sesungguhnya Qazman telah keluar bersama-sama sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari peperangan Uhud, beliau telah membunuh tiga orang pemegang bendera tentera musyrikin yang terdiri daripada Bani Abd Dar sehingga Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda Sesungguhnya Allah akan memperkuatkan agama ini dengan lelaki yang jahat ) [18](

PANDANGAN KETIGA : HARUS ATAU TIDAK, BERGANTUNG KEPADA KETENTUAN POLITIK.
Pendapat yang membuat penilaian awal sebelum diputuskan hukumnya samada harus atau tidak merupakan pendapat yang paling ramai dan paling kuat. Pendapat ini biasanya digunapakai di serata dunia samada pada zaman dahulu mahupun sekarang.

Mereka mengambil hujjah dengan menyatakan bahawa sekiranya kerjasama yang dibuat menguntungkan Islam maka tidak ada lagi sebarang halangan syara’ ([19](

Imam Asy-Syafie menyatakan bahawa sekiranya bukan Islam bersangka baik dengan orang Islam dan ada kemaslahatan bagi umat Islam untuk bekerjasama dengan mereka maka hendaklah bekerjasama ([20](

Pada zaman Saidina Omar Al Khattab pula, beliau pernah melantik Pegawai Tadbir bukan Islam berbangsa Rom dan diikuti pada zaman Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib, dengan melantik orang Kristian memegang jawatan Pengurus Kewangan dan ternyata mereka ini dapat bertugas dengan sangat baik dan tidak menimbulkan apa-apa masalah ([21](

Pada zaman kegemilangan Islam pula Khalifah Abbasi Al Mu’tasim, pernah memberikan mandat penting dalam pentadbiran Islam seperti Setiausaha, Pegawai Kanan dan juga Menteri-menteri, begitu juga jawatan-jawatan dalam Istana kepada bukan Islam. Mu’tasim pernah melantik Nasir bin Harun (Kristian) memegang jawatan Setiausaha Kementerian dan Sulmawah serta Ibrahim (kedua-duanya Kristian) menjadi menteri Kerajaan Abbasiah ([22] (

NAS-NAS YANG PERLU DI FAHAMI

Firman Allah S.W.T.

  
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.[23]

Firman Allah S.W.T..
  
Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.[24]
  
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan- keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.[25]

  
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya[26]
   
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil seteruKu dan seteru kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredhaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguh telah sesatlah ia dari jalan yang betul.[27]

Ayat-ayat yang seperti ini perlu difahami dengan teliti dan mesti dilihat sebab penurunan ayat dan bila diturunkan, di samping perlu juga dikaji dari sudut pembatalan hukum-hukumnya melalui ayat-ayat lain. Banyak kesilapan yang berlaku di kalangan pendakwah-pendakwah dan pekerja-pekerja parti Islam di mana mereka terlalu gopoh ketika menafsirkan ayat-ayat seperti ini menyebabkan berlakunya tindakan-tindakan dan ucapan-ucapan yang boleh menjauhkan golongan non-muslim dari agama Islam yang suci, bahkan mereka terus bermusuh dengan parti Islam.

Ayat-ayat seperti di atas seharusnya disesuaikan dengan ayat-ayat dan sirah yang lain dengan menggalakkan kita bersefahaman dengan golongan Non-Muslim yang tidak bermusuh dengan Islam seperti mana firman Allah S.W.T.:
  
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadi teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.[28]

Begitu juga dengan peristiwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menolak kerjasama golongan Musyrikin di dalam peperangan Badar, mestilah disesuaikan dengan penerimaan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam golongan tersebut di dalam peperangan Khaibar dua tahun selepas Badar. Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga memohon pertolongan Yahudi Bani Qainuqa’ yang kuat bermusuh dengan Islam pada tahun kelapan Hijrah. Di dalam peperangan Hunain pula baginda menggunakan Sawfwan bin Umayyah (seorang Musyrik) untuk membantu Islam ([29](

Dalil-dalil seperti ini memberi gambaran bahawa berlakunya perubahan hukum disebabkan berlakunya perubahan masa dan tempat. Perubahan hukum ini tidak melibatkan dasar dan prinsip Islam. Pengambilan Non-Muslim menjadi wakil rakyat (ADUN atau Parlimen) sememangnya tidak wujud nas Qat’ie dari al Quran dan Hadis, malah ianya termasuk dalam perkara furu’ yang boleh diijtihad oleh ulama’ yang berkelayakan mengikut masa dan suasana. Hukum ini kadang-kadang boleh bertukar dari haram kepada harus, makruh dan wajib.

Para pendokong PAS yang berpaksikan pilihanraya seharusnya sedar di sana mungkin  akan wujud perkongsian yang wajib di segi hukum untuk bergabung dengan Non Muslim dalam soal kelayakan calon kerana pada asasnya Islam mewajibkan kita berbuat baik dan bekerjasama dengan bukan Islam. Benarlah pendapat yang menyatakan bahawa perkongsian Muslim dengan Non-Muslim adalah sesuatu yang harus kerana tidak ada larangan dalam al Quran dan as Sunnah, malah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bekerjasama dengan penduduk Yahudi Khaibar, Yahudi di Madinah dalam urusan politik, perniagaan, cucuk tanam, ekonomi dan lain-lain ([30](


GARIS PANDUAN TAHALUF SIYASI

Terdapat kepelbagaian pendapat ulama dan fuqaha’ berkenaan keharusan bertahaluf Siyasi. Ada yang berpendapat haram secara mutlak berdasarkan beberapa dalil dan nas, manakalah sebahagian besar pula mengharuskannya dengan syarat. Walaubagaimanapun, PAS telah mengambil dan memilih pendapat yang mengharuskan Tahaluf Siyasi berdasarkan realiti dan waqi’ di Malaysia.

Apa yang masih menjadi persoalan berkenaan dengan garis panduan Tahaluf Siyasi ialah berkenaan garis sempadannya, khususnya bertahaluf siyasi dengan golongan atau parti yang majoritinya non-muslim. Sememangnya tiada khilaf di kalangan yang mengharuskan Tahaluf Siyasi, bahawa keharusan itu bukanlah satu keharusan yang mutlak, tetapi ia adalah keharusan yang mempunyai batas-batasnya yang tertentu.

Oleh itu, buku panduan kecil ini bertujuan untuk meletakkan garis-garis sempadan dalam kontek realiti hari ini. Garisan sempadan yang dicatatkan di dalam buku ini bertitik tolak daripada dalil-dalil dan illat-illat di sebalik hujah mereka yang mengharuskan guna sebagai garis panduan serta ilmu maklumat kepada jentera parti khususnya dan umat Islam secara amnya.

FOKUS DAN SKOP

Buku kecil ini akan memfokuskan isu tahaluf siyasi dan bukannya memfokuskan isu penyertaan di dalam kerajaan atau diistilahkan sebagai Isytiraak As-Sultah atau Power Sharing.

Perbezaan antara Tahaluf Siyasi dan Isytirak As-Sultah ialah, Tahaluf Siyasi keputusannya dibuat sama ada harus atau tidak berdasarkan realiti sebelum daripada peperangan, atau dalam konteks kita berpilihanraya ialah sebelum pilihanraya itu sendiri.

Manakala Isytiraak As-Sultah dibuat selepas sesuatu realiti itu berlaku. Dalam konteks hari ini, Isytirak As-Sultah boleh berlaku apabila kuasa Gerakan Islam sudah menjadi minoriti dan lemah, dan timbul persoalan adakah perlu ia menyertai kerajaan yang non-muslim bagi mengurangkan beban dan masalah umat Islam. Isu ini lebih dibahaskan di dalam situasi Fiqh Al-Aqalliyyat atau umat Islam dalam keadaan minoriti.

Minoriti ini bermaksud, umat Islam yang sangat sedikit berbanding dengan non-muslim seperti negara Eropah pada hari ini atau umat Islam yang majoriti tetapi kerusi yang dimenangi oleh Parti Islam adalah terlalu minoriti di dalam sesebuah negara atau di dalam sesebuah negeri.

Sebenarnya isu Isytiraak al-sultah lebih kepada hukum pengecualian. Keharusan ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Tabari:

"إلا أن تتقوا منهم تقاة"، إلا أن تكونوا في سلطانهم فتخافوهم على أنفسكم، فتظهروا لهم الولاية بألسنتكم، وتضمروا لهم العداوة، ولا تشايعوهم على ما هم عليه من الكفر، ولا تعينوهم على مُسلم بفعل [31]

Firman Allah: “kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu)” bermaksud, kecuali jika kamu berada di bawah penguasaan mereka (yang kafir), kamu takuti bahaya ke atas kamu, maku kamu zahirkan pertolongan kepada mereka dengan lidah kamu, dan sembunyikan permusuhan dengan mereka. Dan kamu tidak membantu mereka atas kekufuran mereka dan tidak membantu mereka melakukan perbuatan yang buruk ke atas orang Islam.

Oleh itu, isu ini bukan menjadi perbahasan kita, tetapi perbahasan ini lebih kepada Tahaluf Siyasi dalam realiti politik pada hari ini.

Berdasarkan kepada dalil-dalil yang dibincangkan di dalam isu Tahaluf Siyasi, ia lebih kepada keadaan mencapai kemenangan Gerakan Islam dalam situasi umat Islam lebih majoriti dan kuat, tetapi dirasakan susah mencapai kemenangan melainkan dengan sokongan daripada golongan non-muslim atau parti yang non-muslim.

ABSTRAK DALIL-DALIL DAN ILLAT-ILLAT

Berdasarkan kepada dalil-dalil yang mengharuskan Tahaluf Siyasi, dapat difahami bahawa Tahaluf Siyasi itu sendiri bukanlah Illat yang sebenar membolehkan atau tidak membolehkan Tahaluf Siyasi. Secara ringkas, Tahaluf Siyasi bukanlah sesuatu yang menjadi matlamat yang mempunyai hukumnya yang khusus. Keharusan Tahaluf Siyasi bukan kerana Tahaluf itu sendiri, tetapi disebabkan oleh faktor luaran.

Dengan kata lain, Tahaluf Siyasi adalah termasuk di dalam kategori Maslahah Mursalah. Adakala hukumnya harus dan adakala hukumnya haram. Perubahan hukum ini disebabkan oleh Tahaluf Siyasi itu sendiri tidak mempunyai hukum tersendiri. Hukumnya bergantung kepada faktor Al-Khaariji (faktor luaran) seperti kedudukan umat Islam kesan daripada Tahaluf, keperluan umat Islam kepada Tahaluf, penguasaan non-muslim terhadap golongan Islam dan sebagainya.

Faktor-faktor seperti ini sebenarnya memberikan kesan kepada hukum  itu sendiri. Justeru itu, Dr. Munir Muhammad El-Ghodbaan menyatakan Tahaluf Siyasi hukumnya adalah harus, seterusnya menggariskan bentuk yang haram.

Oleh kerana telah terdapat kertas kerja di dalam parti sendiri berkenaan Tahaluf Siyasi dan juga buku serta kertas-kertas luaran, maka penulis tidak perlu lagi mengulangi pendapat mazhab dan ulama berkenaan dengan Tahaluf Siyasi. Justeru kertas ini adalah kertas yang membincangkan berkenaan garis panduan berkenaan pelaksanaan Tahaluf Siyasi dalam konteks Malaysia secara khusus.



ENAM GARIS PANDUAN TAHALUF SIYASI

Berdasarkan kepada penelitian kepada dalil-dalil yang dikemukan berhubung isu Tahaluf Siyasi serta realiti serta kedudukan politik di Malaysia, enam perkara penting perlu dijadikan garis sempadan Tahaluf Siyasi. Enam perkara tersebut adalah seperti berikut:

1.       Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.

2.       Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.

3.       Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada Pakatan Tahaluf.

4.       Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.

5.       Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.

6.       Majlis Syura ‘Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa.


HUJAH-HUJAH DAN SANDARAN-SANDARAN HUKUM.

GARIS PANDUAN PERTAMA:
Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.

Tahaluf yang dilakukan mestilah bermatlamatkan Islam, iaitu penegakan negara Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan membuka ruang perlaksanaan Islam. Di sini dikemukakan dalil-dalil dan alasan-alasan tentang peri pentingnya matlamat-matlamat tersebut.

Adapun dalil penegakan negara Islam, ia amat penting bagi menjamin keadilan kepada semua pihak, sama ada keadilan untuk umat Islam dan keadilan untuk umat non-muslim. Ini kerana, hukum hakam Islam telah digarisi dan dilengkapkan bukan sahaja sebelum sesebuah kerajaan Islam itu ditubuhkan, bahkan sebelum daripada manusia itu diciptakan oleh Allah S.W.T... Tidak ada sistem dan perundangan yang lebih adil atau dapat menjamin keadilan melainkan sistem Islam.

Firman Allah S.W.T..:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam[32]

Adapun dalil tentang kepentingan menjaga kedudukan umat Islam, ia dapat difahami daripada firman Allah S.W.T..:

Maksudnya: kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).[33]

Menjaga kepentingan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan amat penting justeru mereka adalah pelaksana kepada sistem Islam. Menurut Ibnu Khaldun, jika sesuatu bangsa mempunyai sokongan dan kekuatan kaum dalam penegakan Islam, maka ia adalah lebih layak untuk menerajui kepimpinan di dalam menjaga kepentingan umat Islam. Beliau menyebut:

فاشترطنا في القائم بأمور المسلمين أن يكون من قوم أولي عصبية قوية غالبة على من معها لعصرها، ليستتبعوا من سواهم وتجتمع الكلمة على حسن الحماية.[34]
Maka kami telah mensyaratkan untuk mereka yang memimpin urusan ummat Islam terdiri daripada kaum yang memiliki sokongan kekuatan pada zaman tersebut supaya dapat diikuti oleh yang lain dan menyatukan kalimah atas perlindungan yang baik.

Sebenarnya hakikat ini terkandung di dalam pendapat sebahagian ulama yang menafsirkan maksud hadis nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang berbunyi:
الأئمةُ مِن قُرَيش
Para imam itu daripada bangsa Quraisy.[35]

Daripada apa yang disebutkan oleh Ibnu Khaldun di atas, jika kepentingan umat Islam dalam konteks Malaysia dapat direalisasikan dalam bentuk hak-hak ketuanan Melayu justeru pada hari ini bangsa Melayu adalah Islam, maka ketuanan Melayu perlu dipertahankan dan dijaga. Ini bertujuan menjaga kepentingan umat Islam di sebalik Melayu, dan bukan menjaga Melayu itu sendiri. Ini kerana, apabila Melayu sudah murtad, keluar daripada Islam atau meninggalkan Islam, maka ketuanan Melayu sudah tidak relevan untuk dipertahankan.

Realiti Melayu itu bukan sahaja dilihat kepada realiti UMNO yang seratus peratusnya adalah Melayu, tetapi realiti ini juga harus di lihat kepada realiti PAS dan keahliannya, di mana keahlian PAS hampir seratus peratus adalah Melayu yang mendokong Islam. Jika mempertahankan ketuanan Melayu itu dengan maksud dapat menjamin hak umat Islam, maka ia perlu dipertahankan dalam konteks dan realiti Malaysia hari ini.

Mempertahankan kaum yang diharamkan oleh Islam yang dikenali sebagai asabiyyah, tidak termasuk di dalam kategori ini. Kerana definisi asabiyyah itu ialah menolong kaum sendiri sekalipun atas dasar kezaliman. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
أن تُعِينَ قَومَك على ظُلْمٍ
Maksudnya: Asabiyyah itu ialah kamu menolong kaum kamu atas dasar kezaliman.[36]

Tidak dinafikan, jika Islam dan syariatnya menjadi sistem dalam negara, maka isu Hak Ketuanan Melayu atau Bumiputera tidak lagi relevan untuk dipertahankan, justeru sistem Islam itu menjamin hak semua pihak. Tetapi kita bercakap tentang realiti, tentang hakikat dan tentang waqi’ hari ini, di mana sistem Islam tidak dilaksanakan, realiti di mana hak umat Islam boleh tergugat. Maka dalam realiti sebegini, jika dirasakan Hak Ketuanan Melayu dapat menjadi Himayah kepada kepentingan umat Islam, maka ia perlu dipertahankan, bukan kerana Melayu, tetapi kerana Islam di sebaliknya.

Dalil kepada keharusan ini diqiaskan kepada penggunaan sistem Haliif atau Al-Hilf di zaman awal Mekah, sekalipun sistem itu sebenarnya bercanggah dengan syariat dari sudut pewarisan dan seumpamanya. Tetapi sistem ini dapat menjadi Himayah (perlidungan) kepada umat Islam (individu pejuang Islam) pada masa itu, maka ia digunakan oleh Nabi dan para sahabat R.A.

Dalam realiti hari ini, justeru umat Islam sudah kehilangan simpulan pertama iaitu pemerintahan atau sistem Islam, maka kepentingan dan masa depan umat Islam di Malaysia digambarkan sebagaimana berikut:

1.       Penguasaan persenjataan seperti hak polis dan tentera.
2.       Kedudukan sosio-ekonomi seperti hak kedudukan tanah dan sebagainya.
3.       Kedudukan sosio-politik.
4.       Dan lain-lain yang dirasakan perlu berdasarkan nas-nas syariat.

Kesemua kepentingan ini terkandung di dalam firman Allah S.W.T.:

 
Maksudnya: Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak[37].

Tujuan perjuangan Islam ialah untuk menegakkan hukum Islam. Kewajipan menegakkan negara Islam dan memenangkan perjuangan Islam bukanlah menjadi matlamat yang berdiri secara sendiri. Bahkan kewajiban penegakan negara Islam itu sendiri termasuk di dalam kategori Muqaddimah Al-Wujub (مقدمة الوجوب) bagi perlaksanaan hukum-hakam Islam yang diprasyarakatkan pelaksanaannya oleh kewujudan negara Islam.

Oleh itu, sekalipun atas titik persepakatan seperti menentang kazaliman UMNO dan BN, tahaluf dengan parti non-Islamic atau pihak non-Islamik perlu dikaji semula sekiranya ia boleh menyebabkan berlakunya:

  1. Halangan kepada penegakan negara Islam.
  2. Kedudukan orang Islam tergugat.
  3. Disyaratkan untuk tidak melaksanakan syariat Islam.

Persoalan yang masih belum terjawab ialah, adakah boleh kita  menyembunyikan matlamat penegakan syariat dan hukum Islam justeru ingin menarik sokongan dan Tahaluf dengan golongan non-muslim.

Beberapa dalil menunjukkan untuk tidak menerima sikap dan pendekatan seperti ini. Antara dalilnya ialah penolakan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam terhadap tawaran-tawaran Musyrikin Mekah kepada Nabi sebelum daripada Hijrah. Jika pendekatan ini boleh digunakan, nescaya Nabi telah menerima tawaran sebagai raja dan sebagai orang kaya di Mekah.


GARIS PANDUAN KEDUA:
Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.

Tahaluf siyasi bukanlah satu hukum yang boleh berdiri dengan sendiri. Ia adalah wasilah menegakkan dasar-dasar Islam. Di sini perlu diseimbangkan antara bertahaluf untuk mencapai kemenangan atau bertahaluf untuk mempertahankan dan menegakkan dasar-dasar Islam.

Bertitik tolak daripada keyakinan bahawa ‘keadilan hanyalah dapat dicapai dan dijamin melalui sistem dan dasar Islam’, maka meletakkan matlamat mempertahankan keutuhan dan stabiliti dasar Islam adalah sangat penting.

Oleh itu, kemenangan yang dicapai melalui tahaluf siyasi tidak boleh menghakiskan keutuhan dan stabiliti dasar-dasar. Ini kerana, Islam bukan sahaja bermatlamatkan kemenangan semata-mata, tetapi bermatlamatkan kemenangan yang melaksanakan keadilan melalui perlaksanaan dasar-dasar Islam di dalam kerajaan dan pemerintahan.

Oleh itu, tahaluf yang dilakukan ialah tahaluf siyasi, bukan tahaluf muwaalaah atau tahaluf muwaadaah. Tahaluf muwaalaah atau tahaluf muwaadaah adalah tahaluf yang menjadikan gerakan Islam terikat dengan perjanjian , sekalipun perjanjian tahaluf meminta supaya dasar-dasar Islam diketepikan atau dikurangkan.

Tetapi tahaluf siyasi yang kita amalkan ialah tahaluf yang bersifat kerjasama dalam perkara yang disepakati guna bagi menumbangkan kerajaan yang zalim dan rakus.

Di sinilah titik perbezaan antara tahaluf yang dilakukan oleh PAS dan yang dilakukan oleh UMNO dalam Barisan Nasional. Di mana UMNO di dalam pakatan tahaluf BN lebih bersifat muwaalaah dan muwaadaah


GARIS PANDUAN KETIGA:
Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan PAS, bukan kepada Pakatan Tahaluf.

Intima’([38]) yang merangkumi taat, wala’([39]) dan thiqah([40]) mestilah diberikan kepada kepimpinan parti. Ini kerana, parti PAS adalah Gerakan Islam atau Jemaah Islam yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ
Maksudnya: Akan sentiasa ada di kalangan umatku, satu kumpulan yang menegakkan kebenaran. Tidak memudaratkan mereka oleh golongan yang menentang sehinggalah datangnya pertolongan Allah S.W.T.[41]

Oleh itu, PAS yang memenuhi kriteria Gerakan Islam mestilah melaksanakan semua ciri-ciri dan pra syarat Islam. Antara ciri dan pra syarat Islam itu ialah firman Allah S.W.T.:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu[42].

Perkataan منكم menunjukkan pemerintah di kalangan orang Islam. Ayat ini ditafsirkan lagi bahawa penting berlakunya iltizam dengan jemaah dan mematuhi kepimpinananya sebagaimana sabda nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
تَلزَموا جَماعةَ المسلمينَ وإمامَهُم
Hendaklah kamu beriltizam dengan Jama’ah Muslimin dan pemimipinnya.[43]

Sekalipun kepimpinan Gerakan Islam dilihat dan dinilai lemah berbanding kepimpinan di peringkat tahaluf, kewajipan taat kepadanya tidak boleh dirungkaikan selagi kepimpinan tidak lari daripada landasan Islam. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

سيليكم بعدي ولاة، فيليكم البر ببره ويليكم الفاجر بفجوره، اسمعوا له وأطيعوا، فإن أحسنوا فلكم ولهم، وإن أساؤوا, فلكم وعليهم
Maksudnya: akan datang selepasku pemimpin-pemimpin, yang baik akan memimpin dengan baik, dan yang lemah akan memimpin dengan lemah. Dengar dan patuhlah kepadanya (sekalipun yang lemah), jika ia baik maka kamu dan mereka mendapat pahala, dan jika sebaliknya, kamu mendapat pahala dan mereka akan dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka lakukan.[44]

Dan sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
أن رجلا سَأَلَ النبي صلى الله عليه وسلمُ فَقَالَ أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ عَلَيْنَا أُمَرَاءُ يَمْنَعُونَا حَقَّنَا وَيَسْأَلُونَا حَقَّهُمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ. ([45])
Seorang lelaki bertanya kepada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Bagaimana pandanganmu jika kami diperintah oleh pemimpin yang menghalang hak kami, tetapi menuntut kami akan hak mereka?” Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab: “Dengar dan taatilah. Sesungguhnya mereka akan dipertanggungjawabkan atas tanggungjawab mereka dan kalian akan dipertanggungjawabkan atas tanggungjawab kalian.”

Dalam hal dan realiti ini, pakatan Tahaluf bukan satu entiti jemaah yang disebutkan oleh nas-nas di atas yang wajib kita berintima’ dengannya.

Oleh itu, ketaatan dan pematuhan arahan wajib diberikan kepada pemimpin PAS sekalipun mereka dilihat terlalu lemah di dalam mentadbir dan mengurus parti berbanding pemimpin-pemimpin parti lain yang mungkin pada zahirnya dilihat lebih kuat dan hebat.


GARIS PANDUAN KEEMPAT:
Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.

Dakwah atau penyebaran Islam dan juga keadilan Islam untuk meyakinkan manusia keseluruhannya tentang ketuhanan Allah S.W.T. adalah matlamat utama perjuangan ini. Ini adalah tugas setiap individu, setiap kumpulan dan setiap daulah umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai penerus kepada realiti Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah nabi akhir zaman untuk semua umat dan kaum.

Kewafatan Nabi sebelum dakwah dan maklumat Islam sampai kepada seluruh manusia walhal baginda adalah Rasul untuk semua kaum, membuktikan bahawa tugas Nabi tersebut dipikul oleh setiap individu umatnya, setiap gerakan umatnya hatta setiap daulah umatnya.

Peperangan, penegakan negara Islam di samping menjadi Muqaddimah Al-Wujub, ia juga adalah salah satu uslub dan strategi perluasan dakwah, supaya Islam dapat disampaikan ke semua telinga manusia, menyelinap masuk ke dalam akal manusia untuk dinilai secara benar. Maka terpulang kepada Allah, menentukan siapakah yang Islam dan samaada iman itu masuk ke dalam hati mereka.

Oleh itu, tahaluf dalam konteks Malaysia adalah satu peluang keemasan, medan yang cukup berharga untuk menerangkan kepada mereka tentang Islam dan keadilannya yang diperjuangkan oleh Gerakan Islam. Kebersamaan, dalam semua isu politik, sosial, ekonomi, perundangan menjadikan mereka ‘mempunyai masa’ untuk mendengar apa itu Islam dan keadilannya yang diperjuangkan oleh Gerakan Islam.

Tahaluf yang menyembunyikan hakikat dan keadilan Islam kerana ‘takutkan kepada orang bukan Islam’, adalah sesuatu yang jauh daripada aspirasi asal gerakan dan jemaah Islam itu sendiri. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
بلغوا عني ولو آية
Maksudnya: sampai daripadaku (kepada orang ramai) sekalipun satu ayat.[46]


GARIS PANDUAN KELIMA:
Matlamat kemenangan tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.

Matlamat kemengangan Gerakan Islam tidak boleh menghalalkan semua perkara yang tidak dibenarkan oleh syariat. Niat menegakkan Islam, niat memperjuangkan Islam dan hasrat berkorban untuk Gerakan Islam tidak boleh menjadi “cop pengesahan” untuk membolehkan semua perkara secara mutlak.

Ia mestilah digarisi oleh panduan hukum, menggunakan panduan Siasah Syariyyah, Fiqh Muwazanat dan Maqasid Syariyyah di dalam mengukur boleh atau tidak, harus atau haramnya sesuatu perkara. Jika kita berjuang untuk menang kerana kita orang Islam, tanpa mengambil kira cara kemenangan dan kedudukan Islam dalam kemenangan, sebenarnya perjuangan kita adalah perjuangan untuk memenangkan perjuangan orang Islam’ bukan untuk memenangkan perjuangan Islam’

Ini berdasarkan apa yang telah disentuh sebelum ini, iaitu Tahaluf adalah sesuatu yang bersifat teknikal yang dikategorikan sebagai Maslahah Mursalah, hukumnya ditentukan nas yang pelbagai, berdasarkan situasi yang pelbagai dengan realiti yang juga pelbagai. Oleh itu, menjaga prinsip-prinsip asas hukum berkaitan tahaluf hendaklah dijaga dari masa ke semasa.


GARIS PANDUAN KEENAM:
Majlis Syura ‘Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa.

Oleh kerana isu tahaluf ini berkait rapat dengan dalil-dalil yang agak mendalam justeru Tahaluf itu sendiri bukanlah mempunyai dalilnya yang tersendiri, maka penting kedudukan Tahaluf itu dibuat kajian berkenaan perkembangannya dari semasa ke semasa oleh Majlis Syura ‘Ulamak.

Realiti semasa dan perkembangan terbaru tahaluf hendaklah juga dilaporkan kepada Majlis Syura ‘Ulamak bagi dibuat penelitian dan penilaian berdasarkan hukum, justeru hukum tidak boleh diputuskan melainkan mesti berdasarkan kepada realiti semasa. Ini berdasarkan kaedah:

الحُكمُ على شيء فَرعٌ عن تَصَورِه

Oleh itu, semua pihak perlu menghormati keputusan Majlis Syura ‘Ulamak. Majlis Syura ‘Ulamak membuat keputusan berkenaan:
  1. Penerusan Tahaluf atau sebaliknya,
  2. Isu-isu yang boleh dibersamakan.
  3. Isu-isu yang tidak boleh dibersamakan.


Siasah Syariyyah

Mengukur keuntungan dan kerugian dari perspektif politik sahaja tidak boleh menentukan kedudukan tahaluf. Dalam siasah syariyyah, kedudukan itu terlebih dahulu perlu diukur dengan neraca syariat, kemudian kedudukan keuntungan dan kerugian dari sudut politik mestilah cuba dielakkan seboleh mungkin, diuruskan dalam bentuk pendekatan yang paling baik dipikul dengan bebanan yang paling ringan.

Sebagai contoh, apabila kerjasama tahaluf sudah tidak lagi menepati garis panduan tahaluf menurut syariat, pada masa itu perpisahan atau perpecahan pakatan adalah sesuatu yang pasti dan wajib. Kerugian dari sudut politik akibat perpisahan selagi mana ia tidak memberikan mudharat yang lebih besar daripada hukum itu sendiri, maka ia tidak boleh dijadikan alasan untuk meneruskan tahaluf. Kedudukan mana mudharat lebih besar dan kecil tidak boleh diputuskan oleh ahli bawahan, sama ada di peringkat kawasan, negeri atau seumpamanya, tetapi kedudukan muktamad ini hanya boleh ditentukan oleh pakar-pakar yang berkenaan, iaitu Ahli Majlis Syura ‘Ulamak sebagaimana yang telah ditegaskan di dalam Garis Panduan Ke 6.

Maka menanggung kerugian politik untuk menjaga syariat adalah lebih utama berbanding menanggung larangan syariat untuk menjaga kepentingan politik. Ini kerana, garis sempadan utama Siasah Syariyyah ialah kedudukan dan perlaksanaan politik tidak boleh bertembung dengan syariat.

Di dalam kitab At-Turuq Al-Hukmiyyah, Imam Ibnu Qayyim menukilkan pendapat daripada Imam Syafei:
لَا سِيَاسَةَ إلَّا مَا وَافَقَ الشَّرْعَ
Maksudnya: Tiada Siasah (politik) melainkan ianya mestilah menepati syariat.([47])

Bertahaluf dengan non-muslim bermakna bekerjasama dengan mereka. Walaupun dengan tujuan yang baik dan mempunyai matlamat yang sama, sebahagian ulama tidak membenarkannya dan sebahagian yang lain pula membenarkannya dengan meletakkan syarat yang ketat. Antara syarat yang disepakati ialah Tahaluf tersebut tidak menjadikan orang bukan Islam bersifat Wilayah Ammah ke atas orang Islam dan orang bukan Islam tidak boleh mendominasi orang Islam.

Jika ini berlaku, Tahaluf secara automatik terbatal. Atau dengan kata lain, kerja sama Tahaluf dengan orang bukan Islam asalnya harus dengan syarat orang bukan Islam tidak mendominasi dan tidak bersifat Wilayah Ammah ke atas orang Islam, apabila didapati orang bukan Islam lebih mendominasi dan bersifat Wilayah Ammah, maka Tahaluf tersebut boleh berubah daripada harus kepada haram.


Maslahah, Maqasid Syariyyah dan Akidah.

Dari sudut kaedah usul, maslahah yang lahir daripada yang haram atau wujud selepas yang haram dari sudut andaian, maka yang haram itu tetap haram.

Alasan maslahah dengan melakukan perkara yang haram adalah lebih bersifat maslahah aqliyyah atau mashlahah yang diukur dengan akal. Sedangkan maslahah yang diukur dengan akal apabila bertembung dengan nas dan ijmak, maka ia dikategorikan sebagai maslahah mulgho, iaitu maslahah yang tidak diiktiraf oleh syariat.

Maslahah Mulgho ini kebiasaannya bersifat sementara dan minoriti berbanding keburukannya. Cuma ia dilihat sebagai maslahah kerana pemikiran kita disempitkan dengan maslahah yang di depan mata, sedangkan keburukannya yang lebih majoriti masih belum dilihat kerana ianya belum berlaku.

Dari segi akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang sebutkan oleh Imam Baidhowi di dalam kitab Minhaj:

ما نهي عنه شرعا فقبيح وإلا فحَسن
Maksudnya: Apa-apa yang dilarang oleh syariat, ia adalah buruk (sekalipun akal tidak dapat melihat keburukan tersebut). Jika ia tidak dilarang (harus), maka ia adalah baik.

Justeru itu, hukum haram itu dianggap sebagai papan tanda yang memberitahu kita bahawa di sebalik maslahah pada yang haram itu terdapat keburukan yang banyak jika kita melakukannya, sekalipun akal kita tidak dapat membilang keburukannya atau tidak dapat melihat dengan jelas dan mengetahui dengan fakta.

Oleh itu, orang yang beriman kepada Allah dan memahami Maqasid Syariyyah dengan pemahaman yang betul, tetap akan meninggalkan perkara yang haram sekalipun ia dilihat maslahah, dan tetap melaksanakan yang wajib sekalipun ia dilihat buruk.

Di samping haram dianggap sebagai papan tanda yang memandu kita, ia juga bersifat pemberitahuan tentang perkara ghaib yang akan datang bahawa apabila dilaksanakan, maka keburukan pasti akan lebih besar berbanding kebaikan. Yang tinggalnya ialah, adakah kita lebih percaya dan bergantung kepada akal kita di dalam membuat keputusan politik atau kita lebih percaya dan bergantung kepada hukum haram itu sebagai papan tanda yang memandu tindak tanduk kita di dalam politik?

Jika kita percaya kepada penilaian dan spekulasi akal kita, maka teruskan Tahaluf sekalipun meminoritikan orang Islam. Tetapi jika kita bergantung kepada hukum sebagai papan tanda, maka kita akan membatalkan Tahaluf jika ianya boleh meminoritikan orang Islam.

Maslahah aqliyyah atau maslahah yang dilihat melalui akal kadangkala boleh melahirkan sifat negatif terhadap Islam itu sendiri. Contohnya jika sesuatu akal melihat arak itu baik dan melihat hukum Islam mengharamkannya, maka mungkin akan timbul persoalan negatif terhadap Islam iaitu: "kenapa Islam mengharamkan sesuatu yang baik?" Ini seolah-olah akal menilai hukum.

Sebaliknya, mereka yang mempunyai akidah yang jelas beranggapan arak itu tetap buruk dan pengharamannya adalah maslahah, sekalipun akal tidak dapat melihat keburukannya, sekalipun dikemukakan seribu satu macam kebaikan arak itu sendiri. Ini disebabkan hukum haram adalah penentu kepada ukuran maslahah dan pemandu kepada akal.

Apa yang lebih membimbangkan ialah, apabila syarat Tahaluf tidak diteliti dan dihalusi oleh mereka yang berkepakaran, atau diketepikan pandangan mereka-mereka yang mampu berijtihad,  dibimbangi kita terbabas di dalam mengejar cita-cita kemenangan. Sekalipun Allah S.W.T. melalui pengajaran NabiNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. membenarkan kita meminta bantuan daripada non-muslim, tetapi dalam masa yang sama Allah S.W.T.. berpesan supaya kita tidak boleh bergantung harap kepada mereka.

Apabila kita bergantung harap kepada non-muslim dengan meminggirkan hukumnya, dibimbangi Allah S.W.T.. tidak akan membantu kita di dalam kemenangan sedangkan kemenangan kita sebenarnya bergantung kepada izinnya. Allah memberi amaran yang keras melalui firmannya yg bermaksud:-
Maksudnya: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.”[48]



Penutup
Kewujudan sterategi politik baru melalui Paktan Rakyat yang meletakkan ruang yang agak selesa terutamanya dalam perkara calon non muslim dan calon yang tidak memahami kehendak perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS apabila pembahagian kawasan yang akan mewakili parti masing-masing akan diagihkan kelak. Calon non muslim mungkin tidak akan berlaku dalam PAS, Cuma mereka akan menggunakan simbol yang sama (PR) dalam pilihanraya akan datang.

Doa dan harapan agar Islam akan mencapai kemenangan dalam masa terdekat ini dan semoga pejuang-pejuang Islam akan diberi kemenangan dunia dan Akhirat oleh Allah S.W.T..



[1] Ali Imran : 110
[2] Yusof : 108
[3] Fussilat : 30
[4] Al Ahqaf : 13-14
[5] Al Baqarah : 85
[6] An Nisa’ : 58
[7] Al A’raf : 158
[8] Al Hujurat : 13
[9] At Taubah : 60
[10] Al Maidah : 08
[11]-  الشوكاني، نيل الأوطار 7/237، إبن جزي، قوانين الأحكام الشرعية، ص 164، الدسوقي، حاشية الدسوقي، 2/178، الصنعاني، سبل السلام، 4/49
[12] Ali- Imran 118
[13] Ali- Imran : 28
[14] Al- Mumtahanah : 1
[15] An Nisa’ : 141
[16] - Sila Rujuk kitab-kitab berikut:
(1) الجصاص، أحكام القرآن، 2/43. (2) القرطبي، الجامع لأحكام القرآن، 4/178. (3)الطبري ، 4/60.(4) رشيد رضا، المنار، 4/18. (5) إبن كثير، القرآن العظيم، 1/398 . (6)إبن  العربي، أحكام القرآن ، 1/296 . (7) القاسمي، تفسير القاسمي أو محاسن التأويل، ص4/948 . (8)  الألوسي، تفسير الألوسي، 6/156 .(9)  إبن القيم، أحكام أهل الذمة، 238 . (10) الشوكاني، نيل الأوطار، 7/237
[17] -Sila Rujuk Kitab-Kitab Berikut:-
(1) الصنعاني، سبل السلام،4/49. (2) إبن العربي/أحكام القرآن، 1/267. (3)الشوكاني، تفسير الشوكاني، 7/237 (4)عبد الكريم زيدان، أحكام الذميين، ص 79. (5)إبن الهمام، فتح القدير، 4/237. (6) الشربيني، مغني المحتاج، 4/121. (7)الرملي، نهاية المحتاج، 8/62. (8)الزيلعي، نصيب الراية، 3/434
[18] الشوكاني ،نيل الأوطار– 7/25
[19] - إبن  العربي، أحكام القرآن، 1/268
[20] الشربيني، مغني المحتاج، 4/221. الرملي، نهاية المحتاج،8/62. إبن الهمام، فتح القدير،4/327. الزيلعي، نصيب الراية، 3/423.–
[21] - عبد الحميد الأنصاري، الشورى، ص 324. عبد الكريم زيدان، أحكام الذميين والمستأمنين، ص 82.
[22]أرنولد، الدعوة الى الإسلام، ص81. عبد الرحمن عزام، الرسالة الخالدة، ص 307.–
[23] Ali- Imran : 28
[24] Al Kahfi : 51
[25] Ali- Imran : 118
[26] Al- Mujadalah : 22
[27] Al- Mumtahanah:1
[28] Al- Mumtahanah : 8-9
[29] - ألإمام الشافعي ، الأم : 4/261
[30] - إبن حزم، المحلى : 8/125-126. إبن قدامة، المغني:1/567-575
           
[31] تفسيرالطبري: جـ6 صـ313.
[32] Al-Anbiya’ : 107
[33] Ali-Imran : 110
[34] مقدمة ابن خلدون: صـ100
[35] Riwayat Ahmad
[36] Riwayat Abu Daud
[37] An-Nisa’ : 102
[38])  Intima’ (انتماء) dengan maksud intisab (انتساب) iaitu menyertai atau menganuti. Lihat المعجم الأساسي العربي, hal: 1234. Intima’ dengan parti atau jemaah Islam yang difahami daripada Al-Quran dan hadis memerlukan kepada rukun taat, wala’ dan thiqah kepada kepimpinan Jemaah Islam (Parti PAS).
[39])  Wala’ (وَلاَءٌ) bermaksud nusrah (نُصْرَةٌ), iaitu membantu parti atau jemaah. Ibid, hal: 1334.
[40])  Thiqah (ثِقَةٌ) bermaksud  i’tamanahu (ائْتَمَنَهُ), iaitu memberikan kepercayaan kepada parti atau pemimpin tertinggi parti. Ibid, hal: 1288. 
[41] Sahih Muslim: jilid 10 ms36
[42] An-Nisa’ : 59
[43] Muttafaqun ‘Alaih
[44] Riwayat Ahmad
[45]) Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tarmizi. Abu Isa mengatakan: hadis ini adalah hadis Hasan Sahih. 
[46] Riwayat Al-Bukhari
[47]) الطرق الحكمية في السياسة الشرعية, karangan Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, hal 16.   
[48] Ali-Imran:28

Kertas kerja ini diberi oleh seorang sahabat sy ,saya kira wajar disebarkan untuk pengahuan orang ramai dan moga bermanfaat,terimakasih kepada yang prihatin :-)

6 comments:

adeq said...

salam macam tau je sapa punya kertas kerja. hehe. bagus-bagus.

Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi said...

terima kasih sebab post kan. baru tadi anda ada sebut pasal tahaluf siyasi.

tgk2 dalam garis panduan pertama, menarik juga.

-----------------------------------

فاشترطنا في القائم بأمور المسلمين أن يكون من قوم أولي عصبية قوية غالبة على من معها لعصرها، ليستتبعوا من سواهم وتجتمع الكلمة على حسن الحماية.[34]
Maka kami telah mensyaratkan untuk mereka yang memimpin urusan ummat Islam terdiri daripada kaum yang memiliki sokongan kekuatan pada zaman tersebut supaya dapat diikuti oleh yang lain dan menyatukan kalimah atas perlindungan yang baik.

Sebenarnya hakikat ini terkandung di dalam pendapat sebahagian ulama yang menafsirkan maksud hadis nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang berbunyi:
الأئمةُ مِن قُرَيش
Para imam itu daripada bangsa Quraisy.[35]

Daripada apa yang disebutkan oleh Ibnu Khaldun di atas, jika kepentingan umat Islam dalam konteks Malaysia dapat direalisasikan dalam bentuk hak-hak ketuanan Melayu justeru pada hari ini bangsa Melayu adalah Islam, maka ketuanan Melayu perlu dipertahankan dan dijaga. Ini bertujuan menjaga kepentingan umat Islam di sebalik Melayu, dan bukan menjaga Melayu itu sendiri. Ini kerana, apabila Melayu sudah murtad, keluar daripada Islam atau meninggalkan Islam, maka ketuanan Melayu sudah tidak relevan untuk dipertahankan.
----------------------------------

perlu dihebahkan kertas kerja ni, xda la orang lain lepas ni dok kutuk2 pendekatan 'Melayu' yg ISMA ambil skrg ni..

terima kasih lg sekali..

Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi said...
This comment has been removed by the author.
Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi said...
This comment has been removed by the author.
Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi said...

salam alaik..

saya ada jumpa kertas kerja ini di sini - http://www.scribd.com/doc/75543032/tahaluf-siyasi-asal..

tulisnya macam dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama' PAS.

Tapi takda pula diletakkan tarikh kertas kerja ini dikeluarkan..

Boleh saya tahu, bila sebenarnya kertas kerja ini diucapkan dan dikelaurkan?

saya dahulukan dgn ucapa syukran jzkk..

Siti SArah Ahmad Rusli said...

saya bukan apa..kadang2x terkutuk Isma sebab nampak ke UMNO an dalam kata2x dan tindakan Isma,prog2x yang menjurus pada kemelayuan,dan saya risau,golongan Isma ni ramai x daftar mengundi ..dan saya yakin jika dlm satu kwsn tu ada calon DAP dan UMNO..mesti korang pangkah UMNO kan sbb dia org Melayu?ke yg tu hanya persepsi saya je..kertas kerja ni diberi olh sahabat saya,tarikh tepatnya x pasti..tapi tahun 2011 punya